KUALA LUMPUR 4 Julai – Usaha Malaysian Relief Agency (MRA) mahu membantu mangsa-mangsa perang saudara di Yemen mendapat perhatian apabila Komuniti Nusantara di Oman dan Muslim Brothers Malaysia mengulurkan sumbangan berjumlah hampir RM300,000.
Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman memberitahu, sumbangan itu akan digunakan untuk membina dua pam air jana kuasa solar bagi kemudahan penduduk di wilayah negara bergolak tersebut.
Katanya, pam air tersebut akan dibina di wilayah Shabwah, sebuah kawasan daif dan lokasi puluhan ribu pelarian mencari perlindungan.
“Setakat ini, MRA telah membina tiga pam jana kuasa solar di wilayah Shabwah dan Taiz.
“Pelaksanaan projek-projek itu telah menyalurkan air bersih kepada hampir 20,000 penduduk setempat termasuk beberapa buah masjid, sekolah dan hospital di kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Daud, usaha kemanusiaan MRA di Yemen telah berjalan secara konsisten sejak tahun 2015 dengan penyaluran pelbagai jenis bantuan khususnya bekalan air bersih, makanan dan perubatan.
“Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga akhir 2017, seramai 22.3 juta rakyat Yemen berada dalam situasi memerlukan bantuan kemanusiaan segera daripada pelbagai sudut khususnya sumber asas seperti perubatan, air bersih dan makanan,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Mohd. Daud menyeru rakyat Malaysia yang prihatin dengan penduduk Yemen supaya memberi sokongan serta sumbnagn ke akaun CIMB 8600059478 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation atau boleh menghubungi talian 03-91744672. – UTUSAN ONLINE










