Tiada lagi keletah Adam - Utusan Malaysia

Tiada lagi keletah Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 4 Julai – Keletah Adam Rayqal Mohd. Sufi, bayi comel berusia lima bulan, cucu lelaki tunggal yang menceriakan lagi kehidupan datuk dan neneknya di Taman Cendering Utama di sini dengan gelak tawa, senyuman dan tangisnya itu kini tinggal kenangan.

Hanya selepas seminggu dibawa oleh ibu dan ayahnya yang bekerja di Kuala Lumpur setelah menemukan pengasuh untuk menjaganya, keluarga ibu dan bapa Adam di sini, hari ini menerima khabar sangat mengejutkan sehingga tergamam seketika.

Nadia Mohd. Fauzi, 32, menceritakan, mereka sekeluarga masih lagi terkejut dengan kehilangan secara trajis Adam Rayqal dan sama sekali tidak menyangka akan menyambut kepulangan anak saudaranya dalam keadaan sangat hiba.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nadia yang merupakan kakak kedua kepada Mohd. Sufi Naeif, 28,  berkata, perasaan ahli keluarga masih bercampur-baur dan apa yang diharapkan ketika ini hanyalah untuk melihat anak saudaranya kembali untuk kali terakhir.

“Adam dibawa pulang lebih seminggu lalu selepas ibunya balik beraya di kampung pada minggu kedua Syawal kerana terpaksa bertugas pada Aidilfitri.

“Saya memang rapat dengan Adam, dia cucu lelaki tunggal dalam keluarga. Apabila tahu keadaan Adam macam itu, kita cuma nak tunggu Adam balik je sekarang, saya nak jumpa Adam,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Cendering Utama, di sini petang tadi.

Nadia berkata, mereka sekeluarga membantu menjaga Adam ketika ibu bayi itu kembali bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur (selepas habis berpantang) sebelum dapat mencari pengasuh yang sesuai.

Adam ditemukan mati di rumah pengasuhnya di kampung Nakhoda, Batu Caves dengan mayatnya tersorok dalam ruang sejuk beku peti ais di rumah tersebut.

Kisah Adam mula tular dalam Facebook apabila bapanya,  Mohd. Sufi Naeif memuat naik status anaknya diculik ketika mahu mengambil di rumah pengasuh.

Menurut Nadia, ketika dimaklumkan kehilangannya sebagai kes culik, mereka sekeluarga cuma mendoakan keselamatan Adam Rayqal dan awalnya hanya mengetahui mengenai kejadian sebenar melalui perkongsian orang ramai dalam laman sosial.

Bagaimanapun, mereka masih tertanya-tanya kesahihan berita itu memandangkan tidak dapat menghubungi adiknya pada masa berkenaan.

“Selepas itu, ayah dan emak bergegas ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 malam semalam bersama keluarga adik ipar, Farrah Madihah Othman.

“Adik ipar ada cerita sedikit tentang dia sudah jumpa pengasuh dan kami harap orangnya elok sebab kita tahu di Kuala Lumpur ramai yang jadi mengasuh budak, yang selebihnya saya tidak tahu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN