PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan hari ini membuat keputusan memberhentikan serta-merta Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya membuat keputusan itu kerana mendapati program berkenaan tidak menekankan sepenuhnya proses pembelajaran, latihan mahupun ujian memandu yang ketat.
“Tidak perlu pergi institut memandu, tidak perlu pergi kursus dan hanya berlatih di kawasan luar bandar, kawasan kampung, boleh diberikan lesen.
“Namun, kita tidak berasakan perkara ini tidak patut kerana ia tidak melalui satu proses pembelajaran dan kursus yang lebih ketat dan ujian pun tidak ketat,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, program yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyasarkan golongan masyarakat luar bandar berusia 45 tahun ke atas, belia 21 tahun ke atas, Orang Asli serta warga emas.
“Dengan penghentian program ini yang telah memberikan lesen memandu kepada 132,851 orang di seluruh negara, mana-mana pemohon lesen memandu perlu mengikuti prosedur sedia ada melalui institut memandu,” katanya.
Program SKSJ diperkenal bagi tujuan membantu masyarakat luar bandar memiliki Lesen Memandu Percubaan (P) motosikal kelas B2. – K! ONLINE










