Halang penjawat awam, dua lelaki mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Halang penjawat awam, dua lelaki mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 4 Julai – Dua lelaki termasuk seorang penuntut ijazah sarjana di sebuah universiti awam hari ini didakwa atas tuduhan menghalang penjawat awam bertugas.

Tertuduh, R. Karthiges, 37, dan M. Nathan, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh pada 5 Jun lalu kira-kira pukul 11.30 di alamat E4-23, Rumah Pangsa Padang Tembak di sini menghalang seorang penjawat awam yang juga pegawai di Jabatan Perumahan Pulau Pinang, Nadzlifah Abdul Rahim, 35, daripada menjalankan tugas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 akta yang sama.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara hingga dua tahun atau didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim manakala tertuduh diwakili dua peguam bela, V. Parthipan dan Arafas Abdul Razak.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 tiap seorang dengan seorang penjamin selepas peguam mereka mengemukakan rayuan untuk mengurangkan jumlah ikat jamin asal iaitu sebanyak RM5,000 yang disifatkan terlalu tinggi.

Mohamed Amin kemudian menetapkan 2 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula untuk kes terbabit.

Dalam kejadian berkenaan, Karthiges yang juga penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dan Nathan ditahan polis selepas terlibat dalam bantahan pengusiran tujuh keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) berkenaan namun dibebaskan pada hari sama dengan jaminan polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN