KUALA LUMPUR 4 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan digesa untuk melaksanakan dasar pengurangan pekerja asing secara berperingkat-peringkat kerana sebarang keputusan yang dilakukan secara tergesa-gesa bakal memberikan kesan kepada industri seperti melumpuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
![]() |
|
Senator Datuk Ong Chong Swen
|
Naib Pengerusi Wanita MCA, Senator Datuk Ong Chong Swen berkata, hal itu kerana kekurangan tenaga kerja asing tanpa perangkaan strategi yang lebih komprehensif tidak akan mendorong PKS untuk mengubah cara operasi mereka yang terlalu bergantung kepada pekerja asing dan dapat mewujudkan situasi menang-menang.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan bantuan kepada industri, mewujudkan pelbagai insentif dan bantuan secara bersasar dan memperkenalkan teknologi moden bagi peningkatan daya saing agar kelompok peniaga terbabit secara beransur-ansur mampu mengubah dan menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.
“Pada masa ini, masalah yang sering dihadapi PKS adalah berkaitan kekurangan dana untuk mengembangkan perniagaan mereka, keterbatasan akses ke pasaran antarabangsa dan bantuan kerajaan.
“Oleh itu, kerajaan harus memberi bantuan dalam proses transformasi. Faktor menggaji pekerja asing dengan kadar upah yang rendah turut menyebabkan PKS kurang berminat untuk menggunakan teknologi moden,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE












