ALOR SETAR – Teka-teki pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah terjawab apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim dipilih sebagai Speaker DUN Kedah yang baharu pada Persidangan DUN ke-14 di sini hari ini.
Ahmad, 55, dipilih sebagai Speaker selepas mendapat 21 undi menewaskan calon dicadangkan pembangkang iaitu Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi.
Speaker baharu tersebut sebelum itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Ismail Salleh.
Sementara itu, Ahmad Fakhruddin dicadangkan oleh ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md. Nor dan disokong oleh ADUN Merbau Pulas, Datuk Dr. Siti Aishah Ghazali.
Pelantikan Speaker baharu itu diumumkan oleh Setiausaha DUN, Iqbal Ahmad pada mesyuarat pertama penggal pertama Persidangan DUN itu.
Selepas itu berlangsung majlis angkat sumpah 36 ADUN yang didahului Mukhriz di hadapan Ahmad.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Pakatan Harapan memenangi 18 kerusi DUN manakala Pas dan Barisan Nasional masing-masing memperoleh 15 dan tiga kerusi. – K! ONLINE











