Najib didakwa hari ini - Utusan Malaysia

Najib didakwa hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka berhadapan lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd.

Sumber memberitahu Bernama, Najib akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Dua yang bertempat di Aras 4, sayap kanan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

Difahamkan kes berkenaan akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan, Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas akan mengetuai pihak pendakwaan dalam kes esok.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kenyataan hari ini menyatakan bekas Perdana Menteri itu ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta pukul 2.35 petang susulan siasatan SRC Internatio­nal dan akan didakwa pukul 8.30 pagi esok.

Pasukan Petugas Khas 1MDB diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut dianggotai bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.

Najib telah hadir ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebanyak dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC International.

SRC International merupakan anak syarikat 1MDB dan diletakkan dibawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Najib sebelum ini telah dipanggil bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai SRC International pada 22 dan 24 Mei lalu di Ibu pejabat SPRM.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes membabitkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Sementara itu, pemberita yang berada di pekarangan Ibu pejabat SPRM difahamkan ken­deraan yang membawa Najib telah memasuki ke premis berkenaan pada pukul 3.35 petang.

Menurut sumber, kenderaan berkenaan tidak menggunakan laluan utama sebaliknya laluan khas untuk memasuki bangunan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN