PARTI BERSATU SABAH (PBS) pernah menggubal undang-undang anti lompat parti pada 1986 yang melarang mana-mana wakil rakyat daripada bertukar parti atau wajib mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
![]() |
|
DARI kiri, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali; Datuk Syed Abu Husin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) yang beralih arah meninggalkan BN.
|
Tetapi undang-undang yang dibuat oleh parti itu dicabar di mahkamah. Dan akhirnya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa undang-undang itu melanggar Perlembagaan. Kesannya, amalan lompat parti kembali muncul dalam politik Sabah dengan PBS sendiri menjadi mangsa lompat parti.
Ini apabila kerajaan yang dipimpinnya jatuh tidak lama selepas pilihan raya negeri 1994. Tindakan keluar beramai-ramai wakil rakyatnya yang kemudian menubuhkan parti-parti baharu dan menyertai Barisan Nasional (BN) akhirnya menyaksikan BN mengambil alih kerajaan PBS.
Budaya politik lompat parti ada kebaikan dan keburukannya. Ia suatu strategi politik untuk mengimbangi kuasa – sama ada untuk memihak atau menentang parti pemerintah.
Lompat parti kepada sesetengah pihak dianggap suatu pencabulan hak asasi manusia. Pada masa sama, wakil rakyat yang suka lompat parti tidak sepatutnya mengkhianati amanah pengundi yang telah memilih mereka.
Hakikatnya, lompat parti bererti berpaling tadah – mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan itu bertukar arah. Lebih parah lagi, menentang parti asal.
Perkembangan itu sememangnya membimbangkan kerana sekiranya ramai ahli parti bertukar arah, maka dibimbangi jumlah majoriti mengecil atau langsung hilang.
Akibatnya, sesebuah parti politik itu akan hilang jumlah majoriti, yang seterusnya mengakibatkan kehilangan mandat atau kepercayaan di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri.
Tindakan lompat parti setelah memenangi pilihan raya bukanlah sesuatu yang sihat dan patut disokong. Seseorang yang telah dipilih oleh rakyat bukan semuanya atas kapasiti individu tersebut, tetapi sebahagian besar memenangi kerusi tersebut atas kepercayaan atau mandat rakyat terhadap parti politik yang diwakilinya.
Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat.
Meskipun Parlimen tidak dapat menghalang perbuatan lompat parti, ia tetap suatu pengkhianatan atau pembelotan terhadap rakyat. Bahkan, suatu perbuatan tidak bermaruah.
Suatu ketika sekitar 2008, seorang pemimpin kanan parti utama yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan hari ini pernah menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencapai cita-cita politiknya. Tujuan individu itu adalah mudah iaitu hendak meyakinkan ahli-ahli Parlimen BN bahawa kononnya dua pihak paling berkuasa di negara ini itu berada di belakangnya.
Dalam mana-mana negara yang mengamalkan raja berperlembagaan dan angkatan tentera menjadi tonggak kekuatan, sudah pastilah penggunaan dua nama itu boleh menggerunkan sesiapa sahaja.
Tetapi rancangan pemimpin itu untuk merencanakan drama lompat parti sebelum 16 September 2008 itu gagal. Pengerusi DAP ketika itu, Karpal Singh (mendiang) yang sememangnya menentang perbuatan lompat parti mengeluarkan kenyataan yang cukup keras pada 8 Februari 2009, apabila menegaskan, individu terbabit tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.
Tetapi kemarahan Karpal hanyalah seketika apabila individu itu terus dibenarkan memimpin pakatan pembangkang (waktu itu).
Realitinya jika diguna pakai kaedah menentukan hukum dalam Islam, setiap satu tindakan lompat parti adakalanya bergantung kepada situasi dan keadaan semasa. Ia berubah dari satu masa ke satu masa, satu keadaan kepada keadaan yang lain.
Berikut budaya melompat khianat yang tidak dibenarkan:
Kerana manfaat diri sendiri
Melompat kerana mendapatkan imbuhan untuk diri (seperti wang berjuta dan sebagainya) atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.
Timbul mudarat lebih besar
Seperti pengundi memberontak dan mempunyai potensi berlaku pertumpahan darah dan sebagainya.
Pilihan raya semula lebih diredai oleh semua
Ini dalam keadaan sistem pilihan raya masih boleh dipercayai dan pengundi bercampur antara yang suka kejahatan dan kebaikan.
Dari yang baik kepada tidak baik
Melompat dari kumpulan yang baik kepada yang tidak baik dan membawa semakin jauh dari ketaatan Allah.
Menuruti pandangan kumpulan pengundi tidak baik
Tunduk kepada permintaan pengundi tidak baik sehingga mengabaikan tuntutan pengundi baik dalam kawasannya.
Dasar dan arah perjuangan boleh sahaja berubah. Tetapi kalau asyik berpindah atau lompat parti, maka memang sangat tidak kacak pada pandangan pengundi. Susah pula orang nak berikan sokongan dan undi.
Katak kuning melompat jauh
Katak puru lompatnya payah
Tersalah landing pasti jatuh
Muka tak malu buat tak kisah.
Katanya katak memanggil hujan
Lompat ke kanan lompat ke kiri
Sebenarnya katak panggil teman
Mungkinkan sudah tahu habuan menanti?
Kalau begitu bicaranya, kejamkah mana-mana si pelaku lompat parti?











