SABAK BERNAM 3 Julai – Peguam kepada Datuk Seri Jamal Md. Yunos berlepas ke Indonesia pada pagi ini bagi meneliti perkembangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang ditahan pihak berkuasa republik itu petang semalam.
Menurut Datuk Mohd. Imran Tamrin, buat masa ini beliau tidak boleh memberikan sebarang maklumat mengenai anak guamnya itu sebelum mendapatkan penelitian lanjut mengenai perkara itu.
Setakat ini, jamal katanya ditahan di Polda (Kepolisian Daerah) Metro Jaya.
“Saya dimaklumkan beliau (Jamal) kini ditahan di Polda Metro Jaya, Jakarta. Saya akan mengemaskini perkembangannya nanti,” kata Mohd. Imran menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Tambah Mohd. Tamrin, beliau telah menghubungi pegawai kedutaan Malaysia di Indonesia mengenai perkara itu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kenyataan rasmi mengesahkan penahanan Jamal oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) kira-kira pukul 6.15 petang.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun dihubungi bagi menyelaras urusan penghantaran pulang Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu.
Jamal dilapor melarikan diri daripada Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu dan sebelum ini pernah didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun lalu. – UTUSAN ONLINE.











