ARAU 3 Julai – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini meluahkan rasa kesal baginda terhadap kedegilan peniaga serta pengguna yang masih menggunakan bekas makanan daripada polistirena.
Titah baginda perkara itu jelas dilihat di pasar malam dan bazar Ramadan baru-baru ini yang menunjukkan orang ramai tidak ambil kisah tentang ancaman polistirena terhadap kesihatan manusia.
“Beta bertitah sejak 2012 lagi mengenai isu ini. Arahan juga telah dikeluarkan supaya setiap majlis yang melibatkan beta tidak menggunakan polistirena sebagai bekas makanan namun masih ada pihak tidak mengambil peduli,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah pada majlis Riang Ria Hari Raya Aidilfitri universiti tersebut di Dewan Ilmu di sini.
Baginda mengambil inisiatif melalui projek diraja melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi menghentikan penggunaan polistirena sebagai bekas makanan beberapa tahun lepas namun segelintir rakyat masih menggunakannya.
Mengenai ranking UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin berpuas hati dengan kedudukan ke-40 sebagai ‘Best Universities in Southeast Asia 2018’ oleh QS World University Rankings namun berharap pengurusan UniMAP terus melaksanakan usaha meningkatkan kecemerlangannya.
Pada program itu baginda berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang pertandingan ‘Cake Master’ antara jabatan-jabatan di UniMAP. – BERNAMA











