ALOR SETAR 2 Julai – Atas nama kebenaran, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil mendedahkan bukti terhadap tuduhan kononnya beliau mengamalkan politik wang bagi memegang jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Mengakui tuduhan itu terlalu pahit untuk ditelan dan mengaibkan dirinya, beliau yang sudah 17 tahun berkhidmat dalam parti menyifatkan tuduhan itu sebagai berniat jahat dengan tujuan untuk menjatuhkan serta memalukannya.
“Kalau ada bukti, sila kemukakan bila, di mana dan berapa jumlah wang yang saya beri kepada para perwakilan. Laporkan segera kepada Lembaga Disiplin parti supaya mereka boleh ambil tindakan termasuk kemungkinan memecat saya daripada UMNO.
“Saya tak gentar dengan apa jua tuduhan kerana yakin berada di pihak yang benar. Malah ketika ini, kesemua ahli jawatankuasa bahagian dan ketua cawangan memberi sokongan padu kepada saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hanya selepas beberapa jam keputusan pemilihan bahagian itu diumumkan semalam, Naib Ketua UMNO bahagian, Muhamad Effendi Mashum; Ketua Wanita, Wan Mohalina Wan Mohamad; Ketua Pemuda, Mohd. Rahmat Darus dan Ketua Puteri, Mashitoh Mohamad Yusoff mengumumkan melepaskan jawatan.
Mengulas lanjut Shahanim berkata, beliau tidak terkesan dengan tindakan keempat-empat individu berkenaan, malah masih menanti surat rasmi peletakan jawatan mereka.
“Takkanlah letak jawatan pakai sekeping kertas yang dibacakan dalam sidang akhbar itu saja. Kalau benar mahu letak jawatan, lampirkan surat rasmi mengikut saluran yang betul supaya tindakan lanjut boleh diambil.
“Sehingga kini saya masih menanti surat rasmi tersebut. Perkara ini kemudiannya akan dirujuk kepada Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pusat bagi menentukan sama ada saya perlu menubuhkan jawatankuasa penaja ketiga-tiga sayap berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Kilang Makau, Sabirin Abdul Rahman berkata, apa yang berlaku dalam UMNO bahagian itu dalam pemilihan kali ini lebih kepada kehendak ahli akar umbi yang mahukan perubahan.
“Bagi saya apabila akar umbi sudah memilih, semua pihak di setiap peringkat perlu hormati. Jujur saya katakan, ketika ini hampir 100 peratus ahli jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua cawangan berdiri di belakang Shahanim dengan masing-masing tahu akan kebenaran mengenai apa yang berlaku,” katanya.











