KUALA LUMPUR 2 Julai – UMNO dilihat lebih layak untuk menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat kerana parti itu lebih banyak menguasai kerusi Parlimen berbanding Pas.
![]() |
|
JENIRI AMIR
|
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, jika diikutkan prinsip demokrasi, parti yang memenangi banyak kerusi Parlimen perlu menjadi Ketua Pembangkang.
Malah, jelasnya yang merupakan Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak, segala perbincangan dan kerjasama yang terbentuk antara UMNO dan Pas adalah sebagai barisan pembangkang sealiran.
“Saya yakin, pertemuan serta perbincangan UMNO dengan Pas mungkin hanya sebagai satu budi bahasa sahaja iaitu sebagai orang Melayu, Islam. Tidak perlu berjumpa dengan Pas untuk membincangkan mengenai penentuan Ketua Pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas rancangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang akan berbincang dengan Pas untuk menentukan individu yang layak untuk dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahmad Zahid berkata, UMNO dan Pas bercadang untuk berbincang sebelum Dewan Rakyat bersidang pada 16 Julai ini.
![]() |
|
SHAMSUL AMRI
|
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, perbincangan ini membolehkan UMNO dan Pas membentuk kerjasama lebih erat.
Katanya, adalah lebih baik sekiranya Ketua Pembangkang Dewan Rakyat adalah daripada parti UMNO.
Beliau memberitahu, perundingan UMNO dan Pas lebih berhemah kerana jawatan itu tidak seperti menteri kerajaan selain tiada apa-apa habuan material.
“Saya rasa UMNO sebagai tanda hormat akan tawar jawatan itu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Namun, Abdul Hadi mungkin menolak atas alasan Ahli Parlimen UMNO lebih ramai di Dewan Rakyat . Elok orang UMNO sahaja jadi ketua, tentunya Presiden UMNO sendiri, Ahmad Zahid atau Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin,” katanya.













