Masih pertaruh muka lama - Utusan Malaysia

Masih pertaruh muka lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN UMNO di peringkat Pusat dan negeri baru selesai pada Sabtu lalu. Keputusan menentukan kepimpinan UMNO untuk penggal 2018-2021 adalah amat penting untuk kelangsungan parti itu yang hampir terkubur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Meskipun parti yang dianggap konservatif, ortodok dan ultra Melayu itu tewas, namun keputusan pemilihan parti terutama untuk bahagian seluruh Johor seper­ti tidak mencerminkan situa­si getir dan mencabar diharungi UMNO ketika ini.

Timbul persoalan, benarkan UMNO Johor mahu berubah? Adakah ini UMNO baharu untuk Johor? Menilai keputusan pemilihan baru-baru ini boleh dilihat tidak sampai 10 peratus muka baharu yang menjadi ketua bahagian daripada 26 bahagian UMNO di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara UMNO Bakri masih lagi belum ada keputusan pemilihan bahagian itu kerana masalah teknikal undi yang diperoleh ‘terlebih’ daripada jumlah perwakilan yang mengundi. UMNO Bakri bergolak setiap kali pemilihan parti sejak dari dahulu lagi.

Hanya UMNO Bahagian Sri Gading, Kota Tinggi, Mersing, Tanjung Piai dan Simpang Renggam menampilkan ketua bahagian baharu. Peralihan kuasa itu berlaku pun kerana ketua bahagian yang lama tidak mahu lagi bertanding atas sebab tertentu.

Selebihnya, kita menyaksikan muka-muka lama termasuk yang kalah dalam PRU-14 masih bertanding malah ramai yang tidak dicabar. Apakah ini me­nunjukkan UMNO Johor seperti di tempat lain tidak memiliki pelapis atau orang muda untuk diketengahkan?

Bukan bermaksud hanya pe­mimpin muda yang boleh membawa perubahan dalam penstrukturan semula parti tetapi langkah itu amat penting dalam menarik golongan muda selain menje­namakan dan meremajakan semula parti yang sudah berusia 60 tahun.

Penulis melihat, antara faktor yang menyebabkan pemimpin muda tidak diberikan peluang menerajui parti kerana mereka dicantas pada peringkat awal lagi oleh ketua-ketua bahagian setelah dilihat berpotensi menjadi ancaman kepadanya.

Persoalannya adakah perubahan atau pembaharuan yang akan dibawakan muka-muka lama ini akan dapat diterima sekali gus mengembalikan keyakinan rak­yat Johor kepada UMNO? Apakah formula mereka untuk lima tahun lagi berdepan PRU-15?

Sukar untuk kita memastikan adakah warlord ini akan berubah, membawakan nilai dan sikap politik baharu? Tiada lagi politik wang, budaya ampu dan bodek, sombong, mementingkan diri sendiri dan retorik berlebihan yang sebenarnya untuk kepenti­ngan diri sendiri?

Bukan bermaksud UMNO Johor diterajui orang-orang lama menuju jalan yang salah tetapi pendekatannnya ketika menjadi kerajaan dan kini menjadi pembangkang harus berbeza.

Sebagai sebuah parti pembangkang baharu adakah sudah benar-benar bersedia bangkit daripada kekalahan dan mengambil alih semula pusat pentadbiran Iskandar Puteri? Jika masih di takuk lama dengan cara berpolitik terdahulu, lebih baik lupakan sahaja.

Tidak diketahui apakah yang ketua-ketua bahagian ini kejarkan sedangkan mereka sebelum ini sudah memiliki segala-gala­nya-pangkat dan kekayaan de­ngan harta setinggi gunung.

Sepatutnya mereka menjadi mentor dan membimbing ketua baharu yang diberikan peluang mengemudi bahagian masing-masing. Memang tidak dinafikan terdapat pemimpin lama yang masih diperlukan khidmat mereka tetapi lebih praktikal memainkan peranan di belakang tabir.

Dalam usaha mengembalikan semula UMNO dalam hati rakyat, pemimpin dah ahli-ahli parti itu perlu sanggup berkorban seperti mana organisasi politik itu ditubuhkan pada Mei 1946. Orang Melayu yang tidak wang sanggup bergadai harta-benda untuk perjuangan UMNO pada masa itu.

Jika kini diberikan alasan akaun UMNO Johor sudah dibekukan, itu tidak menjadi masalah yang besar untuk me­nyumbang kepada dana parti kera­na rata-rata pemimpin UMNO adalah golo­ngan kaya-raya. Inilah masa pa­ling sesuai untuk membuktikan ketaatan dan kecintaan kepada parti.

Mengapa dahulu orang Melayu yang miskin harta sanggup berkorban apa sahaja untuk UMNO tetapi sekarang pemimpin UMNO yang kaya malah ramai bertaraf jutawan tidak sanggup bergolok-gadai untuk parti yang pernah memberikan mereka kesena­ngan?

PRU-14 sememangnya menguji UMNO dan apa yang berlaku terkandung banyak hikmahnya. Penentuan hala tuju dan masa hadapannya perlu dicaturkan yang diharap dapat membawa parti kembali menjunjung keluhuran dan kesetiaan janji-janjinya buat umat Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN