Penolong Jurutera JKR didakwa rasuah - Utusan Malaysia

Penolong Jurutera JKR didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 2 Julai – Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah telefon bimbit dan wang tunai daripada seorang kontraktor dua tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, Zainuddin Ibrahim, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, Zainuddin sebagai Penolong Jurutera (JA29) di JKR Daerah Kulai didakwa menerima untuk dirinya sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy S7 Edge dengan tiada balasan daripada seorang kontraktor.

Bagi pertuduhan kedua, Zainuddin didakwa menerima wang tunai RM1,400 juga daripada kontraktor yang sama.

Zainuddin didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Jalan Pintas Seelong-Ulu Tebrau, Kulaijaya pada kira-kira pukul 1 tengahari 17 April dan Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyahrina Raizan manakala tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN