PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 9.50 pagi tadi untuk membantu siasatan berhubung dua kes yang sedang disiasat.
Dua kes itu melibatkan dana RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyelewengan dana sebuah yayasan diterajuinya bernilai kira-kira RM1 juta.
Presiden UMNO itu tiba menaiki kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
SPRM semalam mengesahkan Ahmad Zahid dikehendaki hadir memberikan keterangan terhadap siasatan dua kes antaranya berhubung kenyataan beliau pernah berjumpa penderma dari Arab Saudi yang dikatakan memasukkan dana RM2.6 bilion itu.
Satu lagi kes melibatkan siasatan pembayaran kad kredit milik Ahmad Zahid dan isteri beliau yang menggunakan wang daripada yayasan itu.
Semalam, Ahmad Zahid dalam sidang akhbar pertamanya selaku Presiden UMNO memaklumkan beliau bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung kedua-dua kes berkenaan. – K! ONLINE











