KUALA LUMPUR 1 Julai – Pahang mengesahkan tempat ke final Piala FA musim ini untuk bertemu Selangor selepas membenam Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Keputusan itu membolehkan skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh mara dengan agregat 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 23 Jun lalu.
Gol-gol Pahang malam ini dijaringkan pemain pertahanan importnya, Austin Iwuji Amutu pada minit ke-32 dan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-75 manakala PKNP yang cuba bangkit di penghujung permainan memperoleh gol saguhati pada minit ke-81 jaringan pemain tengah import mereka, Franklin Anzite yang bagaimanapun sudah terlewat untuk menyekat kemaraan pasukan pelawat.
Terdahulu pada Sabtu, Selangor mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 5-1 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC. UTUSAN ONLINE











