KUALA LUMPUR 1 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kemenangan beliau sebagai Presiden UMNO baharu bagi penggal 2018-2021 dalam pemilihan parti itu yang diadakan semalam.
![]() |
|
Najib Tun Razak
|
Najib yang juga bekas Presiden UMNO turut mengucapkan tahniah kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO baharu.
“Tahniah diucapkan kepada @zahid_hamidi sebagai Presiden UMNO yang baru dan @tokmatn9 sebagai Timbalan Presiden .
“Tiba masanya kita mengukuhkan barisan kita demi agama, bangsa dan negara ,” katanya menerusi laman Twitter beliau, hari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, setakat 12.30 tengah malam tadi, Ahmad Zahid memperoleh 78 undi sekali gus mengatasi dua pesaingnya iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (53 undi) dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (28 undi).
Mohamad Hasan memperoleh 110 undi selepas menewaskan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menerima 47 undi. – UTUSAN ONLINE












