KANGAR 1 Julai – Madrasah Miftahul Hidayah Perlis menerima peruntukan RM100,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun 2018.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat bagi menyerahkan sumbangan peruntukan berkenaan dalam Program Hijrah Minda anjuran MAIPs petang baru-baru ini.
Madrasah Miftahul Hidayah ditubuhkan pada 25 Mei 2011 merupakan salah sebuah institusi pengajian tahfiz berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang menerima sumbangan peruntukan tahunan daripada MAIPs.
Mudirnya, Megat Mohd Ridhwan Mustapha Khairi menerima bagi pihak madrasah tersebut daripada baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.
Pada ketika ini madrasah itu mempunyai jumlah pelajar melebihi 80 orang. Ia sentiasa bertekad untuk melahirkan generasi huffaz yang mampu menjadi pendakwah.
“Dengan sentiasa menekankan aspek adab dalam pendidikan, madrasah ini sentiasa komited mendaulatkan al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan”, jelas Megat Mohd Ridhwan.
Yang turut mengiringi baginda adalah Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs dan Kamardin Napiah, Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi dekat Kangar.
Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang kepada Madrasah Miftahul Hidayah ini, nombor akaunnya ialah 559012309322 (Maybank).











