Nafi tipu dalam skim pelaburan Yayasan PBI Sedunia - Utusan Malaysia

Nafi tipu dalam skim pelaburan Yayasan PBI Sedunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 31 Julai – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang lelaki dalam skim pelaburan Yayasan PBI Sedunia yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM121,500, dua bulan lalu.

Tham Yik Keong, 57, didakwa memperdaya Chim Boon Chong, 48, untuk melabur dalam skim pelaburan tersebut di kaunter OCBC Bank cawangan Bandar Puteri Puchong, di sini pada 15 Mei lalu.

Perbuatan itu didakwa telah mendorong Boon Chong menyerahkan kepada tertuduh wang RM121,500 sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V.V. Suloshani mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah namun peguam, Lim Yoi Ping yang mewakili Yik Keong memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya dan isteri tidak bekerja dan mempunyai lima anak.

Hakim Norshila Kamaruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan kes.

Difahamkan, Yayasan PBI Sedunia menawarkan pakej dan keuntungan berlipat kali ganda sehingga 15 ke 20 peratus selama 15 bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×