KUALA LUMPUR 31 Julai – Seorang bekas pemberi pinjaman wang curiga dengan tindakan rakan baiknya, Jay yang bertindak memadamkan nombor casis dan enjin kereta Proton Perdana milik mendiang Datuk Anthony Kevin Morais selang beberapa jam selepas kemalangan antara kereta mangsa dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
Malah, tindakan Jay atau nama sebenar G. Gunasekaran itu turut membawa ‘ingatan’ S. Ravi Chandaran, 47, kepada persoalan tertuduh pertama dalam kes pembunuhan Kevin Morais iaitu pakar patalogi tentera, Dr. K. Kunaseegaran yang pernah bertanyakan bagaimana ingin menghilangkan bukti pada sesebuah kenderaan.
Rentetan itu, Ravi Chandaran yang merupakan tertuduh ketujuh dalam kes itu mengambil keputusan untuk bertemu Kunaseegaran di pejabatnya di Berkeley, Klang dekat sini pada 4 September 2015 bagi merungkai
persoalan yang bermain di mindanya.
“Saya bertanya jika dia ada berbuat apa-apa dengan Jay (bekas tertuduh kedua) tanpa pengetahuan saya, bagaimanapun dia menjawab tidak ada seperti itu. Saya suruh dia beritahu perkara sebenar, saya lontarkan kunci kereta Kevin Morais di atas meja, dia bertanya apakah ini, saya beritahu ini adalah kunci kereta DPP (Timbalan Pendakwa Raya) yang kendalikan kes kamu.
“Ketika itu reaksinya kelihatan normal. Selepas bertemu kita-kira 20 minit, saya terus beredar meninggalkan pejabat itu,” katanya ketika menjawab soalan peguam V. Rajehgopal yang mewakilinya ketika pemeriksaan utama dalam perbicaraan peringkat bela diri yang masuk hari ke-18 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ravi Chandaran, S. Nimalan, 25, bersama R. Dinishwaran, 26, A.K. Thinesh Kumar, 25, dan M. Vishwanath, 28, didakwa bersama-sama Kunaseegaran, 55, membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.
Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.
Terdahulu, saksi pembelaan keenam itu dalam keterangannya memberitahu bahawa dia amat terkejut apabila Jay memberitahu nombor casis dan enjin kereta Kevin Morais perlu dipadamkan sedangkan kereta itu untuk dibaiki.
“Selepas kemalangan, kami bawa kereta Kevin ke bengkel untuk dibaiki dan ketika berada di sana, Jay ada bertanya bagaimanakah caranya untuk melupuskan keterangan (identifikasi) pada sesebuah kenderaan.
“Saya beritahu, jika kita padamkan nombor casis dan enjin, keterangan kereta itu akan hilang. Saya ada buka bonet dan tunjukkan nombor casis dan enjin yang dimaksudkan. Jay kemudian beritahu nombor pada kereta Kevin perlu dipadamkan,” katanya.
Tertuduh yang didesak oleh Jay untuk memadamkan nombor berkenaan akhirnya menolong kawan baiknya itu untuk memadam dan menghapuskan nombor itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 10 Ogos ini.











