KUALA TERENGGANU 31 Julai – Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak seluruh rakyat agar bersama menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotik sebagai benteng dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Menurut beliau, dengan semangat perwira yang sanggup berkorban apa sahaja, sebarang ancaman yang menganggu-gugat keharmonian hidup dalam negara merdeka ini tidak akan dibiarkan, malah akan bersama menanganinya.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Pahlawan, beliau berkata, kemerdekaan dan keamanan negara dikecapi pada hari ini merupakan hasil pengorbanan para perajurit dan anggota keselamatan yang menyekat segala ancaman dari dalam dan luar negara.
“Mereka mempertahankan ibu pertiwi dengan darah dan nyawa menjadi taruhan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
“Jadikanlah ia sebagai satu iltizam dalam diri untuk menghargai para pejuang negara. Selamat menyambut Hari Pahlawan kepada semua perajurit dan anggota keselamatan serta keluarga mereka.
“Tanpa kalian, rakyat Malaysia tidak dapat menikmati apa yang dimiliki sekarang,”tegas beliau. – UTUSAN ONLINE











