KUALA LUMPUR 31 Julai – Sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-61 tahun pada 31 Ogos ini, Union Works Asia Sdn. Bhd. menganjurkan Konsert Ambang Merdeka Sayangi Malaysiaku 2018 yang akan berlangsung pada 30 Ogos di Dataran Merdeka, di sini bermula pukul 9 malam.
Penyanyi terkenal, Datuk Zainal Adibin antara penghibur yang akan menjayakan konsert tersebut. Menurut Zainal, meskipun sentiasa dijemput menjayakan konsert sempena sambutan kemerdekaan, namun penglibatan kali ini memberi semangat yang berbeza.
“Saya sangat teruja dan bangga apabila dipilih menjadi salah seorang penyanyi yang akan menjayakan konsert malam merdeka itu nanti.
“Saya bukan sahaja dapat berkongsi pentas bersama penyanyi yang lebih muda, malah dari pelbagai kaum. Ia sesuatu yang berbeza dan membuatkan semangat patriotik saya lebih menebal,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis sidang akhbar Konsert Sayangi Malaysiaku 2018 hari ini.
Selain Zainal, terdapat 23 orang artis Malaysia lain yang akan menjayakan konsert tersebut. Antaranya Ella, Sakura Band, Nicholas Teo, Resh, Rabbit Mac dan ramai lagi.
Bagi menjadikan konsert ini lebih bermakna, penganjur turut melancarkan baju T dengan tema ‘Proud To Be Malaysian. Baju dengan dua jenis rekaan khas ini dikeluarkan secara terhad iaitu 3,000 helai untuk setiap rekaan dan ia boleh dibeli menerusi jualan dalam talian, Shopee.
Sementara itu, penajaan dana masih diperlukan untuk membantu menyiapkan konsert. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook rasmi, Sayangi Malaysiaku 2018 serta Instagram, @SayangiMalaysiaku2018. – UTUSAN ONLINE.











