KUALA LUMPUR 31 Julai – Ahli Parlimen Malaysia menuntut pembebasan serta-merta 22 ahli misi kapal flotilla Al-Awda termasuk sukarelawan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) , Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh yang ditawan oleh tentera laut Israel semasa berlayar ke Gaza.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, pihaknya turut menuntut Israel untuk menjamin keselamatan kesemua ahli misi solidariti flotila ‘Right to A Just Future for Palestine’ itu sehingga tiba di negara masing-masing.
“Ahli Parlimen Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel merampas kapal Al-Awda milik Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan menculik 22 aktivis dari perairan antarabangsa pada Ahad lalu.
“Tindakan Israel menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila bantuan dibawa sangat diperlukan oleh penduduk Gaza yang telah menderita selama 12 tahun di bawah sekatan Israel,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE.











