KUALA LUMPUR 30 Julai – Pergerakan Puteri UMNO mahu Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengganggu keharmonian kaum di negara ini.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Puteri UMNO juga mendesak Kula Segaran melepaskan jawatan Menteri Sumber Manusia kerana rakyat tidak mahu memiliki pemimpin pencetus ketegangan dengan kenyataan berbaur hasutan.
“Laporan polis serentak seluruh negara sudah pun dibuat oleh rakan-rakan kami daripada Pemuda UMNO agar perkara ini disiasat pihak berkuasa.
“Kami mahu tindakan tegas diambil di bawah Akta Hasutan agar keharmonian kaum yang dibina selama ini tidak musnah begitu sahaja. Apakah ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah, mereka boleh melakukan apa sahaja?,” katanya di Facebook beliau hari ini.
Kelmarin, akhbar Utusan Malaysia berdasarkan satu rakaman video di Youtube baru-baru ini memetik kenyataan Kula Segaran yang mendakwa, Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia itu menafikan laporan tersebut dan mendakwa pandangannya telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum.
Namun begitu, hari ini beliau mengambil keputusan untuk memohon maaf untuk mengelakkan hal tersebut berlarutan dan menjadi semakin teruk.
Mengulas lanjut, Zahida berkata, walaupun Kula Segaran sudah memohon maaf, namun masih belum dapat meredakan kemarahan masyarakat yang berterusan mengecam tindakan biadab pemimpin DAP itu.
“Jelas sekali kenyataan tersebut biadab, ekstrim dan bersifat mempertikaikan kedudukan sebenar orang Melayu di Malaysia.
“Apakah dengan minta maaf sudah cukup? Ibarat seperti luka, walaupun ia sembuh tapi parut tetap ada,” katanya.











