Menghargai jasa-jasa pahlawan negara - Utusan Malaysia

Menghargai jasa-jasa pahlawan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun perlu diangkat sebagai medan terbaik untuk menghargai segala jasa, sumbangan, pengorbanan keringat, darah dan nyawa para perajurit negara. Sambutan Hari Pahlawan dalam kalendar tahunan di peringkat kebangsaan adalah satu lagi usaha dan keprihatinan pihak kerajaan dalam menetapkan satu hari yang khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang berkorban jiwa dan raga untuk mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Untungnya, generasi hari ini tidak lagi berhadapan dengan konflik atau peperangan. Negara ini juga sudah tidak lagi dijajah dan telah mencapai kemerdekaan. Namun memasuki usia 61 tahun eloklah kita mengimbau kembali detik getir ketika sebelum kita menikmati kebebasan pada 1957. Hakikatnya, bukan sedikit ke­sengsaraan yang dilalui generasi pra merdeka terutamanya ketika penjajahan komunis dan Jepun. Begitu banyak nyawa terkorban demi mempertahankan ibu pertiwi dan generasi itu berjuang dengan penuh ikhlas dengan hanya satu matlamat iaitu membebaskan tanah tercinta ini dari kezaliman penjajah. Hasilnya, generasi hari ini dapat menikmati kebebasan yang telah diwariskan kepada kita.

Harus diingat, generasi hari ini hanya mampu membaca dalam buku sejarah tentang kezaliman penjajah mahupun detik kesengsaraan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Justeru, kita percaya tidak ramai yang dapat atau mampu merasai dan menjiwai perasaan dan kesukaran yang telah dilalui oleh generasi pra merdeka. Namun itu bukan alasan untuk menafikan atau melupakan sumbangan para perajurit dan pahlawan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara cara terbaik untuk menghargai sumbangan pahlawan adalah kita wajib menjaga dan mempertahankan kemerdekaan yang sedia ada. Betul, kita sudah merdeka tetapi harus diingat merdeka sekali tidak bererti akan merdeka selama-lama­nya. Jadi, jika leka, lalai mahupun terlalu selesa pasti akan ada pihak yang mengambil kesempatan dan kembali menjajah negara ini dalam pelbagai aspek. Sedarlah penjajahan pada hari ini bukan berlaku dalam bentuk fizikal atau melalui peperangan semata-mata, sebaliknya kita lebih bimbang dengan penjajahan moden iaitu penjajahan terhadap minda dan pemikiran rakyat terutamanya golongan muda.

Jadi adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperingati segala sumbangan perajurit dan sentiasa menginsafi detik kesengsaraan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu supaya kita tidak leka dan terus mempertahankan negara dan rakyat dari segala jenis penjajahan moden dan juga ancaman. Maka sambutan Hari Pahlawan perlu terus diangkat sebagai detik keramat untuk dijadikan iktibar dan pengajaran yang cukup penting dalam lipatan sejarah negara ini.

Dalam pada itu, jangan melupakan golongan veteran tentera yang masih ada bersama dengan kita. Malah, balu dan juga anak veteran tentera yang kelainan upaya juga perlu diberi perhatian yang serius. Mereka ini masih memerlukan perhatian, sumbangan serta bantuan daripada masyarakat dan juga kerajaan.

Dalam hal ini kita amat berharap agar Persatuan Veteran Ang­katan Tentera Malaysia (PVATM) akan terus memainkan peranan yang agresif supaya kebajikan golongan veteran tentera ini terus dijaga dan dipelihara.

Penulis percaya selama ini sudah banyak bantuan dan kemudahan disalurkan dan terus disediakan kepada kumpulan wira ini namun tidak salah ia di­pertingkatkan lagi dari semasa ke semasa kerana jasa dan sumbangan mereka terlalu tinggi nilainya dan tidak mungkin kita mampu membayar balik walau dalam apa jua keadaan sekali pun.

Penulis sangat setuju dengan cadangan beberapa pihak agar golongan veteran disediakan kemudahan tambahan seperti menyediakan laluan khas kepada mereka apabila berurusan di pejabat kerajaan, hospital dan juga sektor swasta seperti di bank dan juga lapangan terbang. Di samping itu sebagai mengenang jasa mereka juga, anak-anak mereka perlu diberi keutamaan untuk menyertai sektor pekerjaan baik di sektor awam mahupun swasta dengan sedikit kelonggaran yang sewajarnya.

Malah anak-anak mereka juga wajar diberi kemudahan untuk menyambung pengajian di peringkat universiti demi kelangsu­ngan kebajikan dan masa depan keluarga veteran tentera.

Kesimpulannya, semua pihak perlu sedar betapa sambutan Hari Pahlawan bukanlah sekadar sambutan yang biasa sama macam mana-mana majlis lain. Ia wajar diangkat sebagai detik yang cukup penting dan signifikan untuk seluruh rakyat Malaysia menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada para pahlawan negara dengan penuh keikhlasan. Terima kasih pahlawan negara!

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×