PUTRAJAYA 30 Julai- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan bahawa pihaknya bertindak menurunkan bahan kempen yang dipasang oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, tiada sebarang tindakan penurunan bahan kempen dibuat oleh Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) seperti yang didakwa, malah wakil calon itu juga turut menganggotai PPKPR.
“SPR menafikan dakwaan yang dibuat oleh Lokman bahawa suruhanjaya ini telah bertindak menurunkan bahan kempen yang dipasang oleh calon berkenaan kerana dianggap menimbulkan perasaan tidak selesa kepada pihak lain.
“Ingin ditegaskan bahawa tiada sebarang tindakan penurunan bahan kempen tersebut dibuat oleh PPKPR seperti yang didakwa, malah wakil calon parti berkenaan juga turut menganggotai PPKPR yang diwujudkan oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hari ini, Lokman mendakwa tindakan SPR mengarahkan jentera BN DUN Sungai Kandis menurunkan poster parti itu menjadi pertikaian dan menimbulkan persoalan terhadap tahap kredibiliti agensi berkenaan dalam menjalankan tugas.
Lokman berkata, tindakan SPR itu juga hanya disifatkan sebagai pilih kasih antara parti itu dan PKR dalam menjalankan kempen kali ini namun, BN tidak akan menurunkan poster tersebut sehingga surat rasmi di keluarkan kepada parti itu. – UTUSAN ONLINE











