KUALA LUMPUR 29 Julai – Aspek keselamatan di tempat kerja perlu diberikan keutamaan lebih-lebih lagi di sektor pembinaan yang mencatatkan peningkatan kadar kematian sejak 2013 ekoran kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan.
Mengikut rekod Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), kadar kematian di tapak pembinaan terus meningkat sejak tahun 2013 sehingga 2017 iaitu daripada 84 kepada 187 kematian.
Malah, sehingga April 2018 juga dilaporkan sebanyak 32 kematian berlaku dengan 62 kemalangan di tapak pembinaan.
Sehubungan itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mempergiatkan usahanya melalui Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) untuk memastikan kadar kematian dalam industri pembinaan dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 10.94 kematian dalam setiap 100,000 pekerja buruh pada 2015 kepada 5.5 kematian menjelang 2020.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, CITP diperkenalkan bagi mengubah dan menambah baik industri pembinaan sehingga mampu menjadi satu industri yang produktif, selamat dan berkualiti.
“Tumpuan diberikan kepada aspek-aspek keselamatan khususnya dalam memberi latihan berkaitan pengurusan sistem keselamatan kepada kontraktor-kontraktor agar mereka menggunapakai sistem tersebut sepanjang berada di tapak pembinaan.
“Tetapi, melihatkan kadar kematian masih terus meningkat, CIDB menyuntik inisiatif-inisiatif baharu yang dapat membantu merealisasikan hasrat untuk mencapai sasaran pengurangan 50 peratus kadar kematian di tapak pembinaan,” katanya.
Ahmad Asri berkata, antara penambahan usaha itu adalah melaksanakan konsep Pengurusan Reka Bentuk Pembinaan (CDM) yang telah digunapakai oleh United Kingdom dan Singapura dalam amalan keselamatan dan kesihatan bagi industri pembinaan.
Jelasnya, pendekatan itu terbukti berjaya mengurangkan kadar kematian di kedua-dua negara tersebut.
“Pendekatan CDM amat baik kerana ia memastikan semua pihak yang terlibat dengan projek pembinaan daripada pemaju hartanah, perunding dan kontraktor bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan di tapak pembinaan.
“Selama ini, tanggungjawab keselamatan banyak diletakkan di bahu kontraktor serta pegawai keselamatan dan kesihatan sedangkan ia adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak,” jelasnya.
Beliau berkata, JKKP telahpun memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Industri Pembinaan (Pengurusan) atau OSCHIM yang selaras dengan CDM. OSCHIM menggariskan tentang tanggungjawab pemaju, kontraktor dan konsultan dalam aspek keselamatan.
Katanya, CIDB kini membantu JKKP bagi mempromosikan OSCHIM kepada syarikat-syarikat pembinaan dan pemaju hartanah yang terlibat dalam industri pembinaan.
Setakat ini kata beliau, garis panduan tersebut belum diwajibkan dan tentunya usaha dilakukan secara berperingkat supaya syarikat-syarikat pembinaan dan pemaju lebih bersedia apabila ia diwajibkan.
Ahmad Asri berkata, CIDB juga memperkenalkan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (Safety and Health Assessment System in Construction) atau SHASSIC untuk menilai tahap amalan sistem pengurusan keselamatan syarikat di tapak pembinaan.
“SHASSIC menggalakkan semua pihak termasuk pekerja untuk menjadikan aspek keselamatan sebagai satu budaya yang harus diterapkan dalam setiap projek pembinaan,” katanya.
Jelasnya, CIDB telah melaksanakan lebih 3,000 lawatan penguatkuasaan tapak pembinaan di seluruh negara dan akan terus mempergiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan tapak pembinaan menerapkan aspek keselamatan setanding negara-negara maju.
Selain itu, beliau berkata, penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS) dalam projek-projek pembinaan turut membantu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di samping terbukti lebih efisien serta menjimatkan kos.
Oleh itu katanya, kerajaan akan mewajibkan semua pemaju perumahan swasta menggunakan IBS sepenuhnya menjelang tahun 2020.
“Penggunaan IBS secara tidak langsung menyebabkan banyak kerja berpindah ke kilang kerana komponen bangunan dihasilkan di kilang sekali gus memudahkan syarikat menjaga keselamatan pekerja berbanding di tapak pembinaan,” ujarnya.











