Yen Mei lakar kejutan julang Terbuka Rusia - Utusan Malaysia

Yen Mei lakar kejutan julang Terbuka Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJUARAAN berganda buat Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Rusia apabila pemain perseorangan wanita kebangsaan, Ho Yen Mei serta beregu lelaki profesional, Mohamad Arif Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub muncul juara.

Yen Mei melakar kejutan apabila memenangi acara perseorangan wanita selepas menewaskan pemain Jepun, Shiori Ebihara menerusi aksi tiga set 22-20, 11-21, 21-18 dalam tempoh lebih sejam.

Jurulatih perseorangan wanita negara, Rony Agustinus mengakui tidak menjangka anak buahnya itu mampu merangkul kejua­raan memandangkan sudah lama menyepi daripada menyertai sebarang kejohanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya saya langsung tidak jangkakan Yen Mei muncul juara di sini kerana dia sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan. Bagaimanapun, kemenangan ini mampu beri keyakinan diri kepadanya menjelang kejohanan akan datang.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk mencari jalan bagaimana mahu memastikan dia terus menampilkan aksi konsisten,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terbuka Rusia yang memiliki taraf kejohanan Jelajah Super 100 itu merupakan penampilan ketiga Yen Mei tahun ini selepas beraksi pada Thailand Masters dan Malaysia Masters, Januari lalu.

Mengulas mengenai pres­tasi Yen Mei, Rony memuji semangat juang yang ditunjukkan pemain berusia 22 tahun itu apabila enggan me­ngalah meskipun ketinggalan pada set ketiga.

“Semua orang tahu bukan mudah apabila bertemu pemain Jepun tetapi hari ini (semalam), Yen Mei kelihatan yakin dan fokus untuk mengutip mata. Pada set ketiga, dia ketinggalan tetapi berjaya bangkit dan memenangi perlawanan,” ujarnya.

Sementara itu, Arif-Azriyn merangkul gelaran sulung selepas pilihan kedua yang merupakan wakil tuan rumah, Konstantin Abramov-Alexandr Zinchenko terpaksa menarik diri pada aksi final gara-gara kecederaan.

“Alhamdulillah, kami berjaya rangkul gelaran pertama, jadi ia jadi pencetus semangat untuk kami tembusi kelompok 40 terbaik dunia menjelang akhir tahun.

“Walaupun tidak bermain pada final tetapi saya puas hati menewaskan pilihan utama pada separuh akhir,” kata Arif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×