'KAKANG ' ITU WAK KHALID - Utusan Malaysia

‘KAKANG ‘ ITU WAK KHALID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WATAK ‘Kakang’ lakonan Khalid Salleh dalam filem Kaki Bakar arahan Sutradara U-Wei Haji Saari cukup mengesankan sesiapa yang pernah menonton lakonan seniman serba boleh itu yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu, di Pusat Perubatan Ampang Puteri.

“Sekarang Wak Khalid sudah tidak ada, meninggalkan kita semua, menemui Sang Pencipta. Saya tidak dapat bayangkan orang lain memainkan watak Kakang dalam filem Kaki Bakar.

“Lafasan dialog, tenungan mata, geliat tubuh yang Wak Khalid munculkan sungguh meyakinkan yang dia ‘menjadi’ Kakang yang mulanya saya hanya bayang-bayangkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya hilang Kakang sekarang. Saya hilang satu bakat besar Malaysia, bakat yang akan mengangkat tulisan saya, seorang yang benar-benar seniman dalam ertikata itu,” cerita U-Wei yang pernah melihat Khalid berlakon, berjoget, mengubat orang, mendeklamasi sajak dan menjual ubat di Istana Budaya.

Itulah peluang pertama kali diberikan oleh pengarah tersohor itu kepada Khalid bila beliau pulang dari bermukim di Amerika Syarikat. Khalid diberi memegang watak utama sebagai perantau dari Jawa dalam filem tersebut yang diadapatasikan daripada cerpen Barn Burning karya William Faulkner.

“Dia (Khalid) mengambil masa dua minggu memberi jawapan untuk setuju. Penggambaran Kaki Bakar bermula dengan segeranya selepas itu.

“Saya melihat fokus dan konsentrasi pada watak dan kerja lakonannya amat luar biasa tanpa terganggu oleh perkara-perkara di sekeliling.

“Watak Kakang dilakonkan oleh Wak Khalid seolah-olah lakonan baginya seperti suatu perkara semula jadi dan sesiapa melihat dia melakonkan watak Kakang itu akan beranggapan berlakon itu senang,” katanya.

Menurut U-Wei, filem Kaki Bakar yang pernah ditolak untuk siaran di stesen televisyen tempatan membawa tuah yang tersendiri apabila meletakkan sinema Melayu di peta sinema dunia.

Beliau dan Wak Khalid seterusnya menyertai Festival Film International di Cannes, Perancis membawa filem Kaki Bakar yang mendapat sambutan hangat di luar negara.

Bagi U-Wei, Kaki Bakar adalah Wak Khalid. Kaki Bakar kemudian banyak menyertai festival filem antarabangsa sehingga membawa Khalid ke Belgium dan London.

“Wak Khalid lebih baik daripada saya. Semasa terlantar di katil, dia memberitahu saya: Wei! (U-Wei), aku reda, aku terima, aku hadap! Dari mata yang sentiasa cerah hingga kesudah terpancar tidak ada kekesalan dalam hidupnya atau meminta simpati daripada saya.

“Seperti terdengar Wak Khalid berkata pada saya sebaik-baik dia memejamkan matanya supaya saya tidak bersedih: Aku dah selamat U-Wei!” cerita sutradara itu lagi.

Penjual ubat

Aktivis teater, wartawan dan tokoh korporat, Tan Sri Johan Jaaffar pula kehilangan seorang teman dan negara kehilangan karyawan tulen yang tiada tandingan selepas ketiadaan Khalid.

Johan mengimbau kembali saat beliau mengenali Khalid seorang tokoh teater kelahiran Anak Alam, sebuah gerakan seni dan budaya yang berpengaruh pada dekad 1970-an.

“Penyair, pengkritik sosial dan aktivis sosial – Khalid Salleh menjadi sahabat saya, sejak saya mengenal beliau di Benteng (medan selera di Kuala Lumpur) pada pertengahan tahun 1970-an,” katanya yang merupakan mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

“Saya mengenal Allahyarham Khalid Salleh sewaktu saya mula berjinak-jinak dengan Kumpulan Anak Alam pada pertengahan tahun 70-an. Saya sering mengunjungi banglo lama yang dikenal sebagai “Rumah JKR 905” di hadapan Padang Merbok, Kuala Lumpur.

“Saya dan teman-teman seniman Anak Alam sering melihat seorang penjual ubat yang dikenal sebagai “Radin Khalid” di Benteng.

“Beliau menjual majun buatan ayahnya. Beliau tidak seperti penjual ubat yang lain. Ada kekuatan yang lain pada beliau, cerdik, penuh humor dan yakin. Beliau tidak menjual ubat, tapi “berlakon” sebenarnya,” jelas Johan lagi.

Menurut Johan, mendiang Krishen Jit merupakan orang yang mula-mula mengajak Khalid ke pentas teater.

“Beliau (Krishen) melatih Khalid untuk membawakan drama karya Dinsman, Bukan Bunuh Diri (BBD).

“Pada malam pementasan BBD lakonan Khalid, saya turut menontonnya. Dipendekkan cerita, saya mengagumi arahan Krishen dan beliau telah melahirkan bintang baru di pentas teater Malaysia. Penerbit drama RTM yang terkenal, Abdullah Zainol (Allahyarham) yang tertarik dengan Khalid telah meminta saya menulis sebuah drama TV khusus untuk Khalid. Menggunakan nama “Jaafar Khan” yang memang saya gunakan untuk penulisan drama TV, saya telah menghasilkan Pelari,” imbaunya.

Dalam ulasan tentang lakonan Khalid dalam drama itu (Dewan Budaya, Mac 1981) Krishen mengatakan Pelari bagaikan sebahagian kehidupan sebenar Khalid.

“Khalid telah diperkenalkan oleh U-Wei Haji Shaari dalam filem Kaki Bakar dan Khalid begitu cemerlang. Seterusnya beliau berlakon dalam Jogho dan Buai Laju-Laju juga arahan U-Wei.

“Bagi saya puncak kejayaan Khalid dalam filem adalah lakonan beliau dalam filem Hanyut yang disesuaikan oleh U-Wei daripada novel karya Joseph Conrad, Almayer’s Folly,” jelas Johan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×