[VIDEO] 'SAYA TIDAK MAHU' - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘SAYA TIDAK MAHU’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: NOVEL Hujan Pagi yang ditulis oleh Sasterawan Negara DATUK A.SAMAD SAID kira-kira 30 tahun lalu merupakan antara rakaman awal keresahan sekelompok kaum wartawan dalam usaha untuk memperjuangkan kebebasan akhbar di negara ini, sejak merdeka.

 

Ketika ditemu bual oleh wartawan Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFAR dan jurugambar Utusan Online, MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDDIN, beliau mengakui novel Hujan Pagi (1987) yang ditulisnya menggunakan aliran ‘realisme magis’ sebagai perlambangan kehidupan dunia kewartawanan yang penuh warna-warni ketika beliau bertugas di akhbar Utusan Melayu di Singapura dan Berita Harian di Kuala Lumpur.

“Saya fikir, akhbar itu perlu bebas dalam erti kata yang sihat. Sebab itu saya tulis Hujan Pagi,” katanya yang menerbitkan kembali novel tersebut bagi Edisi Khas 30 tahun penerbitannya tahun ini. Novel Hujan Pagi pernah dinobatkan sebagai novel terbaik Hadiah Sastera Malaysia 1986/1987.
 

Memuatkan artikel berkaitan…

MINGGUAN: Pak Samad pernah berkata amat menyenangi Salina, Hujan Pagi dan sudah tentu Al-Amin (Syair Panjang Untuk Nabi Muhammad). Boleh ceritakan mengapa karya-karya ini tersemat di hati Pak Samad?

A.SAMAD SAID: Yang pertama, saya fikir novel Salina itu rakaman pengalaman yang berjejak di bumi. Salina menceritakan atau merakamkan bagaimana kehidupan orang Melayu di Singapura, itu penting untuk kita tahu sekarang.

Yang kedua, Hujan Pagi merupakan eksperimen untuk mencuba (aliran realisme magis), memang ada tindasan, memang ada henyakan, memang ada batasan (kawalan media), daripada pengalaman saya sendiri.

Saya fikir akhbar perlu bebas dalam ertikata yang sihat. Bukan bebas saja nanti ‘babas’ (terbabas). Jadi bebas dalam ertikata yang sihat. Sebab itu saya tulis karya itu (Hujan Pagi).

Pak Samad ada sarankan diterbitkan semula novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar dan Rimba Harapan karya Keris Mas untuk bacaan generasi sekarang. Boleh jelaskan?

A.SAMAD SAID: Ya, saya fikir banyak karya awal yang diterbitkan oleh DBP perlu ‘dihidupkan’ (dicetak) semula. Ya. Novel Desa Pingitan amat perlu dihadirkan semula.

Walaupun kelompok lama yang menikmati novel Desa Pinggitan itu sudah berlalu tetapi angkatan baru perlu diperkenalkan juga benda-benda semacam ini. Mereka tidak tahu. Jadi saya fikir karya Ibrahim Omar, Desa Pingitan sangat penting untuk dihidupkan semula, sebagai jati diri bangsa.


Video oleh KAMARUL KAMARUDIN

Macam buku yang diterjemahkan oleh Zaaba, Anak Raja Anak Papa. Kalau kita tidak melihat isinya tidak apa tetapi kita melihat bahasanya. Sebab itu karya Pendita Zaaba. Kita boleh belajar bahasa penterjemahannya. Kita harus melakukan itu.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malek ada menyatakan akan membawa Pak Samad ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengangkat kembali martabat sastera negara. Apa reaksi Pak Samad?

A.SAMAD SAID: Sebenarnya saya berjumpa dengan Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee) lebih kepada soal kesihatan saya. Beliau bertanya tentang kesihatan saya dan beliau bersaksikan sendiri. Kemudian memang adalah bayangan, dia tahu keresahan saya tentang hasil-hasil ciptaan saya yang nampaknya agak terbeku.

Saya menjelaskan beberapa sebab ini berlaku, antaranya saya katakan bahawasanya barangkali kedudukan saya dalam siasah itu turut mempengaruhi sehingga bila satu kelompok naik, kelompok lain cuba jauhi diri.

Tapi, alhamdulillah sekarang keadaan itu begitu, agak mula berubah dan saya harap kehadiran saya masih diperlukan dan saya harap saya dapat memberi sumbangan.

Mungkinkah Pak Samad perlu diberi jawatan di DBP supaya satu perubahan besar dapat dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan bahasa, sastera dan budaya Melayu?

A.SAMAD SAID: Itu cadangan daripada Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee). Saya tidak mahu apa-apa. Kalau diberi apa-apa jawatan pun saya tidak mahu.

Umur saya sudah 86 tahun. Saya hanya ingin bersendiri membaca buku yang saya suka, menulis ketika saya mampu dan seumpamanya.

Apa yang berlaku ialah persepsi bahawasanya saya diketepikan. Ada yang benar, ada yang tidak benar. Tapi, saya fikir saya seperti biasa tidak banyak minta apa-apa.

Perlukah satu badan pemikir wujud dalam bidang sastera dan bahasa Melayu di DBP?

A.SAMAD SAID: Saya sendiri tidak merasakan perlu. Dia (pengarang) bergerak sendiri-sendiri, kehidupan yang berasingan dan dia membuat rumusan tentang kehidupan itu melalui hasil ciptaannya. Saya sendirilah, saya fikir biarkanlah seorang penulis, pengarang, pujangga berkembang sendiri-sendiri.

Pak Samad pernah melancarkan mogok seni sebagai pilihan terakhir membantah kerenah birokrasi yang tidak peka terhadap para sasterawan. Masih adakah lagi kerenah birokasi sebegitu terhadap penerbitan karya Sasterawan Negara?

A.SAMAD SAID: Ya. Saya fikir era baharu ini (Kerajaan Pakatan Harapan) baru bermula. Saya belum temui apa-apa sebenarnya selain daripada keinginan memahami apa yang saya mahu. Dan saya tidak mahu apa-apa.

Saya selalu mengulangi, pilihlah beberapa buah buku saya yang dirasakan berguna dan cetaklah buku-buku itu dalam bentuk yang bermaruah dan sebarkan ke sekolah-sekolah. Itu saja yang saya minta.

Baru-baru ini timbul persoalan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) akan dikaji semula atau mungkin digabungkan dengan DBP? Apa pandangan Pak Samad dalam hal ini?

A.SAMAD SAID: Saya fikir ITBM mempunyai sumbangan yang besar dalam penerbitan buku. Dari sisi penerbitan buku, kita tidak nampak DBP begitu banyak mengeluarkan buku.

Walaupun tidak semua buku yang dikeluarkan oleh ITBM itu bukan buku sastera, tapi saya fikir itu tugas ITBM. Jadi, saya fikir, biarkan…biarkan ITBM dengan tugasnya, malah kita harus menolongnya untuk mendapatkan skrip-skrip (manuskrip) yang berguna.

Perlukah badan-badan pengiat sastera seperti PENA, GAPENA, PENYAIR dan sebagainya diletakkan di bawah naungan DBP bagi menyemarakkan lagi kegiatan sastera?

A.SAMAD SAID: Saya tidak fikir DBP harus mengongkong badan-badan ini. Biarkan badan-badan ini berkembang sendiri. Barangkali, kelahiran badan-badan ini pun disebabkan ketidaksenangan melihat DBP tidak aktif seperti dikehendaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×