ISLAMABAD 28 Julai – Beberapa parti utama Pakistan menolak keputusan pilihan raya yang menyaksikan kemenangan bekas bintang kriket antarabangsa, Imran Khan, selain mengancam untuk mengadakan protes besar-besaran supaya pilihan raya semula diadakan.
Penegasan itu diumumkan oleh All Parties Conference (APC) termasuk Parti Liga Muslim Pakistan-N (PML-N), yang dilihat menjadi cabaran utama kepada Imran untuk membentuk kerajaan selepas memenangi pilihan raya tanpa memperolehi undian majoriti.
Parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) kini sedang mengadakan rundingan dengan ahli-ahli Parlimen bebas dan parti-parti kecil bagi membentuk kerajaan campuran.
Berita berkaitan:
Pilihan raya yang diadakan pada Rabu lalu mendapat kritikan pelbagai negara khususnya Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan pemerhati lain selepas didakwa ‘diganggu’ oleh kuasa tentera bagi memenangkan Imran.
Pengkritik melabel pilihan raya itu sebagai ‘paling kotor’ tetapi kemenangan Imran menamatkan peralihan kuasa yang silih berganti sejak sekian lama antara PML-N dan Parti Rakyat Pakistan (PPP).
Bagaimanapun, keputusan PML-N untuk mencabar keputusan pilihan raya itu bertentangan dengan kenyataan semalam yang mengatakan parti itu ‘mengaku kalah’ dan menerima bahawa Imran adalah Perdana Menteri baharu Pakistan.
“Kami rasa ‘rompakan’ telah dilakukan. Kita akan melancarkan gerakan supaya pilihan raya diadakan semula. Ini satu bentuk protes,” tegas Maulana Fazalur Rehman, ketua agama bagi Parti Jamiat Ulema-e-Islam (JUI-F).
PML-N yang mendakwa menjadi sasaran manipulasi tentera turut menegaskan akan menyertai protes yang tidak dinyatakan tarikh itu.
“Saya bersetuju sepenuhnya (diadakan protes),” kata pemimpin parti, Shahbaz Sharif.
Bagaimanapun, Sharif berkata, pihaknya perlu berunding dengan kepimpinan parti atas keputusan APC untuk tidak mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen. – AFP











