KOTA BHARU 28 Julai- Kerajaan Pas Kelantan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengadakan kerjasama dengan semua pasar raya di negeri ini bagi menjayakan kempen menghindari penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kebersihan negeri, Dr. Izani Husin berkata, pasar raya dipilih kerana premis itu merupakan antara lokasi tumpuan orang ramai bersama keluarga masing-masing.
Menurutnya, pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada setiap pasar raya supaya memberi peringatan kepada orang ramai berkaitan dengan penularan virus HFMD dan langkah wajar diambil bagi mencegah penyakit tersebut.
“Saya juga ingin menasihatkan masyarakat terutama ibu bapa di negeri ini supaya mengutamakan kebersihan seperti membasuh tangan sebelum menyediakan makanan atau menyentuh anak-anak.
“Pengendali pusat jagaan kanak-kanak pula perlu menggunakan cecair antiseptik untuk mencegah virus HFMD,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gotong-Royong Mega 1.0 peringkat negeri di Taman Desa Rahmat, di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











