KUALA LUMPUR – Meskipun hujan lebat turun pada awal pagi tadi, ia tidak menghalang lebih 2,000 umat Islam dari seluruh negara membanjiri Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu di sini bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Ummah.
Kehadiran orang ramai itu mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA).
Antara tuntutan mereka ialah membantah pertikaian kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Perhimpunan yang bertema ‘Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam’ dimulakan dengan bacaan al-Fatihah dan laungan ‘Allahu Akbar’ kira-kira pukul 10.00 pagi.
Sebanyak 20 tokoh daripada pelbagai bidang dijangka akan tampil mengutarakan pelbagai isu yang kini jelas membelenggu orang Melayu selepas era pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk liberalisme dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga telah tiba pada himpunan tersebut. – K! ONLINE











