Tentang ikan, nelayan dan pencerobohan - Utusan Malaysia

Tentang ikan, nelayan dan pencerobohan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Januari lalu, 64 bot nelayan asing kebanyakan bot dari Vietnam ditahan di perairan pantai timur terutama di negeri ini. Ini lubuk rezeki mereka tanpa perlu banyak bersaing dengan sesiapa ketika di perairan negara mereka tidak banyak yang tersisa. Kalau diambil kira lebih awal, sejak 2006 hingga 2017, sudah 614 bot nelayan negara itu dan beribu nelayannya sudah dikenakan tindakan, namun tidak ‘mematahkan semangat’ mereka, warga yang dimasakkan dengan kehidupan mencabar.

Tentunya ini sebahagian kecil daripada begitu banyak bot Vietnam yang menceroboh masuk ke dalam kawasan per­airan kita yang cukup luas dan tidak terjangkau kawalannya dengan bilangan aset pihak berkuasa yang banyaknya tidak pula boleh berlama di laut.

Tidak lagi banyak kedengaran bot nelayan Thai ditahan, mungkin kerana di pantai timur ini mereka telah mengambil alih pengendalian bot-bot tempatan sebagai kru dan penyewa memudahkan untuk mereka membawa pulang sambil mendaratkan sedikit bagi memenuhi syarat Jabatan Perikanan.

Apa yang dijual di pasar seolah-olah hasil lebihan tangkapan mereka, sebilangannya dibawa masuk semula untuk pasaran tempatan, dan kita akan asyik bercerita tentang harga ikan yang kian mahal di pasaran.

Bukan sedikit hasil yang dikaut dari sumber negara malah dianggarkan mencecah RM6 bilon setahun, dan habuan yang mudah dengan pulangan cukup besar itu menyebabkan mereka berterusan datang tanpa takut berdepan dengan risiko.

Nampaknya tidak begitu menjadi persoalan lagi apabila bot-bot dan kelengkapan yang dirampas dan ditenggelamkan sebagai tukun, denda yang tinggi manakala awak-awak bersama tekong yang terpaksa meringkuk dalam penjara selama beberapa bulan sebelum dihantar pulang dan kemudiannya turun semula ke laut.

Apatah lagi nelayan tempatan makin berkurangan, malah tidak begitu bersedia untuk meneroka laut luas, dan sumber kekayaan itu tidak dieksploitasi sepenuhnya malah nelayan kita masih bersalut dengan cerita kemiskinan yang tidak berkesudahan.

Sehinggakan mereka terpaksa diberikan elaun sara hidup dan segala subsidi termasuk minyak yang boleh memberi keuntungan singkat untuk dijual semula di tengah laut selain hasil tangkapan, sedangkan sebahagian pula kaya raya dan asyik berlenggang ke bank.

Ada suatu yang tentunya tidak kena dalam industri yang begitu besar nilainya dari segi sumber kewangan buat negara dan impaknya kepada saraan kehidupan rakyat apabila dompet mereka makin kempis.

Tangani dahulu pencerobohan berterusan yang makin menjadi-jadi dan negara terus kehilangan sumber begitu besar termasuk dengan langkah lebih tegas diambil agar mereka serik.

Justeru baru-baru ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi pindaan akta untuk me­ngenakan hukuman lebih berat termasuk sebatan terhadap nelayan asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar memberitahu tentang usaha untuk mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengenakan ‘kad merah’ ke atas nelayan Vietnam yang berterusan menceroboh perairan negara sekali gus mengha­ramkan mereka daripada mengeksport hasil laut di rantau itu.

Agensi itu mahu menggandakan kekuatan bagi mengekang pencerobohan dengan turut merancang menempah tiga mothership (kapal induk) dan empat buah pesawat selain telah melakukan pembelian aset baharu, tiga buah kapal pe­ronda luar pantai (OPV) berharga RM740 juta serta enam buah kapal ronda generasi baharu (NGPC) berharga RM240 juta.

Kapal induk yang setiap sebuah berharga antara RM250 juta hingga RM300 juta, dan berkeupayaan memuatkan enam buah bot, membolehkannya berada lebih lama di laut bagi menggerakkan operasi berterusan.

Maritim Malaysia turut bercadang mengukuhkan aset udara termasuk dua pesawat Dauphine (helikopter) dan dua buah Bombardier (kapal terbang) bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi penguatkuasaan terutama di perairan pantai timur.

Tentunya ini memerlukan sokongan padu kerajaan namun dengan cerita tentang sumber kewangan negara yang terbatas, cadangan terbaharu mungkin hanya akan kekal di atas kertas jika soal ikan dan isu nelayan tidak dipolitikkan bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×