BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 28 JULAI 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 28 JULAI 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG bersetuju dengan pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk turut mempertimbangkan peruntukan kewangan kepada sekolah-sekolah swasta lain termasuk institusi tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat.

Bagi Awang, gesaan itu adalah wajar memandangkan jika kerajaan berhasrat memberikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) maka layanan yang sama juga harus diberikan kepada sekolah-sekolah swasta lain.

Langkah seumpama itu sudah pasti akan mengelakkan tanggapan negatif terhadap sebarang langkah kerajaan untuk memberi bantuan kepada SMPC semata-mata. Awang yakin Menteri Pendidikan, Dr. Maslee Malek memahami situasi ini dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.

Melalui peruntukan yang diberikan terutamanya kepada sekolah tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat ia sudah tentu dapat membantu pengurusan sekolah berkenaan meningkatkan kemudahan pembelajaran kepada pelajar-pelajar termasuklah dari segi infrastruktur.

Apa pun Awang menyerahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Pendidikan menangani isu yang mula menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat apabila kementerian bersetuju mempertimbangkan bantuan kepada SMPC.

Namun dalam apa pun isu, ia harus ditangani dengan fikiran terbuka, bukannya emosi bagi membolehkan satu keputusan yang tepat dibuat. Awang yakin sudah pastilah kementerian akan mengkaji segala aspek dalam isu ini supaya tidak wujud tanggapan ada pihak yang dianaktirikan dalam era Malaysia Baharu sekarang.

AWANG – Tunggu reaksi Dr. Maslee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×