MELAKA: Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dikatakan berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas memenanginya sejak 2008.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan seorang calon lain disebut-sebut akan dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen itu bagi menggantikan Ahmad yang kini sudah berusia 72 tahun.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I itu juga dikatakan telah berjumpa dengan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman yang meminta namanya disenaraikan untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Jasin.
“Ahmad yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin meminta Hasan menyokong beliau untuk bertanding dalam PRU-15 buat kali terakhir sebelum beliau ingin mengundurkan diri daripada dunia politik.
“Tetapi Hasan tidak memberi sebarang jawapan ketika itu, malah dalam beberapa pertemuan dalam mesyuarat UMNO bahagian juga tidak membincangkan mengenai hasrat Ahmad ingin bertanding lagi mempertahankan kerusi Parlimen Jasin pada PRU-15,” ujar sumber kepada Utusan Malaysia.
Sebaliknya, Utusan Malaysia difahamkan nama Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin, Datuk Shahrul Azwa Aziz, 43, yang bertugas sebagai akauntan di Ibu Pejabat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pusat disebut-sebut sebagai calon paling berkaliber setakat ini.
Jika hasrat Ahmad yang juga menantu kepada Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba itu menjadi kenyataan, beliau akan memahat sejarah sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat selama 25 tahun di negeri ini.
Tiga penggal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam iaitu pada 1995, 1999 dan 2008 manakala tiga penggal lagi di Parlimen Jasin pada 2008, 2013 dan 2018.
Kali pertama beliau bertanding di DUN Serkam pada 1995 mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 4,117 undi apabila memperoleh 6,594 undi menewaskan calon Pas, Md. Said Omar yang mendapat 2,477.
Rentetan daripada kejayaan memenangi DUN Serkam selama tiga penggal Ahmad beralih pula ke Parlimen Jasin dalam PRU 2008 sehingga beliau mengalahkan calon PKR, Ir. Zulkefly Othman dengan majoriti sebanyak 12,490 undi. Beliau memperolehi 27,838 undi berbanding lawannya mendapat hanya 15,348 undi.
Pada PRU-14, beliau menang dengan majoriti 217 undi apabila memperoleh 26,560 undi selepas menewaskan Khairuddin Abu Hassan (Amanah) yang memperoleh 26,341 dan Abdul Alim Shapie (PAS) pula mendapat 8,860. – UTUSAN










