MEKAH – Pihak berkuasa bagi keselamatan dan kawalan kesesakan jemaah haji yang dianggarkan tiga juta orang pada musim haji tahun ini akan menggunakan khidmat helikopter Tentera Udara Arab Saudi (SAAF) bagi pemantauan jemaah haji dari udara.
Pengarah Pasukan Khas Jeddah, Bandar Al-Akur berkata, hasil pemantauan udara akan disalurkan kepada Pusat Kawalan Tetap Bagi Keselamatan Awam di Mina yang melakukan pemantauan menerusi ribuan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang sekitar Mina, Arafah dan di ketika-tiga tempat melontar di Jamraat serta di stesen Keretapi Metro.
“Sehubungan itu kita akan menggunakan helikopter pelbagai missi Sikorsky bagi memantau keadaan,” katanya kepada 11 editor dari negara-negara Islam yang dijemput bagi membuat liputan persediaan musim haji tahun ini.
Kesemua 11 orang pengamal media dari Pakistan, Malaysia, Senegal, Turki, Sudan dan Indonesia itu diberi peluang keemasan bagi merasai sendiri tugas pemantauan udara dengan menaiki pesawat Sikorsky yang dipimpin oleh Ketua Operasi Pengawasan Udara Kolonel Ibrahim Enani.
Tanpa mendedahkan maklumat terperinci, beliau berkata, pemantauan dilakukan setiap hari oleh lebih 20 Sikorsky yang berada di pangkalan udara. – Bernama











