CYBERJAYA 26 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan dua buku Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 dan Mylocal Stats 2017 yang julung kalinya diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan pada Majlis Statistik Mensejahterakan Rakyat di sini.
Kedua-dua laporan itu mengandungi statistik sehingga peringkat kawasan kecil atau ‘small area’ iaitu peringkat daerah pentadbiran yang akan memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat.
Wan Azizah ketika berucap berkata, Jabatan Perangkaan perlu memastikan supaya jabatan itu mempunyai data yang berintegriti, relevan serta mencukupi.
Katanya, langkah itu bagi menyediakan statistik untuk membolehkan setiap kementerian dan agensi yang berkaitan membuat keputusan-keputusan polisi yang betul dan tepat bagi negara ini mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030.
“Dari hari ini hingga 2030, kita juga memerlukan statistik-statistik ini bagi memantau kedudukan kita setiap tahun supaya kita berada di landasan betul untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut.
“Bukan itu sahaja, statistik yang relevan juga diperlukan bagi membolehkan kerajaan mencapai janji-janji manifesto kami, sama ada dalam masa pendek, sederhana atau panjang,” katanya.
Agenda 2030 untuk membantu membasmi kemiskinan dan mencapai pembangunan mampan itu adalah berdasarkan kepada satu konsensus yang dicapai di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September 2015.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin. – UTUSAN ONLINE











