Ahli Parlimen perlu didisplinkan supaya tidak ponteng sidang Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen perlu didisplinkan supaya tidak ponteng sidang Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Ahli-ahli Parlimen perlu didisplinkan dan dihukum jika gagal untuk hadir tanpa alasan munasabah ke sidang Dewan Rakyat seperti yang dijadualkan.

AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI
AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI

Tindakan itu penting bagi memastikan jumlah kehadiran mereka ke Dewan Rakyat sentiasa mencukupi korum dan menjamin kelancaran perjalanan dewan.

Perkara ini perlu dijaga kerana Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan di mana undang-undang digubal selain menjadi forum perbincangan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Menurut Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, kegagalan Ahli Parlimen hadir ke sidang Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah bermakna suara rakyat tidak dapat dibawa ke peringkat yang tertinggi.

Jelas Dr. Ahmad Zaharuddin, kegagalan itu juga bermakna Ahli Parlimen berkenaan gagal untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

“Tugas wakil rakyat ialah mewakili suara rakyat di Parlimen. Jika mereka ponteng, ini bermakna mereka tidak berdisplin dan gagal menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Untuk mengelakkan sikap ini berterusan, satu mekanisme kawalan perlu diadakan supaya sidang berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini untuk mengulas cadangan Tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim agar elaun bulanan ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir sidang Dewan Rakyat dipotong.

Cadangan itu diberikan ekoran penangguhan seketika sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya disambung semula selepas waktu rehat pukul 2.30 petang kelmarin kerana tidak cukup korum.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengarahkan sidang berkenaan ditangguhkan selama 10 minit bagi memastikan korum mencukupi selepas Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) memetik Peraturan Mesyuarat berhubung perkara tersebut.

Terdahalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri di Parlimen.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk mengukur prestasi menteri dan timbalan menteri menjalankan tugas di Parlimen.

Tahun lepas isu yang sama pernah dibangkitkan apabila sesi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Pindaan) 2017 pada sidang Dewan Rakyat, 24 Oktober 2017 terpaksa ditangguhkan seketika kerana ketiadaan menteri dan timbalan menteri di dalam dewan pada ketika itu.

Dr. Ahmad Zaharuddin turut berpendapat, masalah ketidakhadiran wakil rakyat yang semakin ketara itu juga mungkin disebabkan kurangnya pemahamanan sebahagian besar daripada mereka mengenai fungsi, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai Ahli Parlimen.

Menurut beliau, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, lebih 40 peratus daripada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat adalah muka-muka baharu.

ACHMED DZARIEAN
ACHMED DZARIEAN

Pendapat itu turut disokong oleh Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd Nadzri.

Dr. Achmad Dzariean berpendapat, wakil-wakil rakyat berkenaan kurang memahami fungsi, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai Ahli Parlimen mungkin disebabkan mereka sebelum ini berada di kerusi pembangkang.

Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan mengadakan satu sesi penerangan untuk mereka yang berkenaan bagi mengatasi masalah ketidakhadiran ke sidang Dewan Rakyat yang berlaku.

“Saya berpendapat wakil-wakil rakyat ini kurang memberi perhatian atau sedar mengenai kepetingan kehadiran ke persidangan Dewan Rakyat kerana kurang pengalaman.

“Oleh itu elok bagi pihak kerajaan mengadakan satu sesi penerangan kepada mereka agar masalah ini dapat diatasi,” kata beliau.

Beliau turut menyatakan, di negara-negara maju seperti Britain, wakil-wakil rakyat amat mementingkan kehadiran mereka di persidangan Parlimen.

Menurut beliau, sikap itu juga menunjukkan tahap pemikiran yang perlu ada pada Ahli-ahli Parlimen Malaysia jika mahu membawa negara mencapai tahap negara maju. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×