MUAR 25 Julai – Majlis Penasihat Kerajaan yang diwujudkan bagi membantu pentadbiran negara tidak melangkaui bidang kuasa yang diperuntukan.
![]() |
|
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
|
Ahli Parlimen Muar yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tidak ada isu anggota majlis itu lebih berkuasa daripada Kabinet dan mereka juga tidak berupaya bertindak sesuka hati.
“Saya terpanggil untuk menjawab beberapa persoalan mengenai Majlis Penasihat Kerajaan, pertama isu pelantikan anggota majlis yang berlandaskan meritokrasi dan pengalaman mentadbir.
“Kedua, setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan majlis berkenaan tidak boleh diluluskan dengan sendiri dan ketiga bidang kuasa mereka hanya menasihati Perdana Menteri dan anggota Kabinet,” katanya dalam kenyataan, di sini sebentar tadi.
Syed Saddiq mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa semalam ketika perbahasan di Dewan Rakyat yang meminta kerajaan Pakatan Harapan membubarkan Majlis Penasihat Kerajaan.
Sementara itu, Syed Saddiq turut mengingatkan semua pihak bahawa tempoh kuasa yang diberi kepada Majlis Penasihat Kerajaan untuk menasihati Kabinet hanya 100 hari. -UTUSAN ONLINE












