KUALA LUMPUR 25 Julai – Malaysia Airlines Berhad (MAB) memeterai perjanjian sewa khas umrah dengan gabungan empat syarikat pengendali umrah dikenali sebagai Gabungan 4 KAER.
Syarikat tersebut ialah KRS Travel Sdn. Bhd.; ATS Global Travel & Charterer Sdn. Bhd.; Eco Riths Leisure Travel & Tour Sdn. Bhd. dan Rayhar Travels Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail berkata, ia akan menyediakan 149 penerbangan sewa khas dengan membawa lebih 70,000 jemaah.
Katanya, penerbangan itu dijadual berlepas ke Madinah dan Jeddah mulai 31 Oktober 2018 hingga 9 Jun 2019.
“Perjanjian ini adalah yang terbesar dari segi jumlah penumpang yang dibawa untuk perkhidmatan sewa khas umrah sekali gus memperkukuhkan lagi status kami sebagai syarikat penerbangan pilihan untuk sektor perkhidmatan umrah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











