Contohi sesi sekolah YIK bermula 8 pagi - Utusan Malaysia

Contohi sesi sekolah YIK bermula 8 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 24 Jun – Kementerian Pendidikan disaran mencontohi negeri ini yang melaksanakan sesi pengajian sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bermula pukul 8 pagi, berbanding pukul 7.30 pagi bagi sekolah biasa sejak tiga tahun lalu.

MOHAMED FADZLI HASSAN
MOHAMED FADZLI HASSAN

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan tersebut setakat ini mendapat maklum balas positif ibu bapa.

Kata beliau, waktu tersebut lebih sesuai kerana memberi ruang lebih selesa kepada ibu bapa sekali gus mengelak suasana kelam kabut terutama aliran trafik pada sebelah pagi.

“Pertemuan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan disusuli pertemuan barisan Exco dengan menteri-menteri berkaitan bidang tugas masing-masing.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan nanti kita merancang bukan setakat mendapatkan pandangan bahkan memberi pandangan kepada Pusat bagaimana menambah baik sistem pendidikan negara.

“Antara cadangan kita ialah supaya kementerian bukan setakat mengkaji kasut sekolah tapi mengkaji waktu persekolahan bagi memberi ruang lebih selesa kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan tambahan Abdul Rahmah Yunus (Pas-Pasir Tumbuh) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob memberitahu, langkah kerajaan negeri menukar waktu persekolahan sekolah-sekolah YIK kepada pukul 8 pagi telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan negeri sebelum ini.

“Kita maklumkan keputusan menukar waktu persekolahan ini untuk pengetahuan jabatan dengan harapan semoga sekolah-sekolah di bawah kementerian juga dapat bersama kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×