BALIK PULAU – Seorang penuntut sebuah universiti di sini ditahan selepas polis menemui dua butir peluru di dalam begnya semasa berada di bahagian pengimbas Dewan Perlepasan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini semalam.
Suspek wanita berusia 20 tahun semasa itu mahu menaiki pesawat ke Pulau Langkawi, Kedah pada pukul 7.05 malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, tangkapan ke atasnya dijalankan selepas sepasukan polis bantuan menemui objek disyaki peluru ketika melalui mesin pengimbas.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua butir peluru di bahagian bawah beg milik wanita itu dan dia (suspek) bagaimanapun gagal memberikan penjelasan memuaskan.
“Siasatan awal polis, peluru tersebut adalah milik adik lelakinya yang bekerja sebagai Beach Boy di Pulau Langkawi lalu menyimpan di dalam beg itu. Suspek tidak mengetahuinya sehingga dia ditahan semalam,” katanya di sini sebentar tadi. -K! ONLINE











