SUNGAI PETANI 23 Julai – Polis menahan tujuh lelaki termasuk remaja bawah umur kerana disyaki menjadi operator bagi perjudian dalam talian di sebuah premis di Taman Angsana, dekat sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, tangkapan terhadap mereka yang berusia antara 15 hingga 22 tahun dibuat kira-kira pukul 10.50 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri.
“Siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi setiap hari sejak Jun lalu dengan kesemua operator tersebut dibayar gaji antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.
“Mereka dibahagikan kepada dua shif dengan hubungan antara operator dan pelanggan dilakukan menerusi aplikasi Whatsapp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, setiap urusan pembayaran dan penerimaan wang dibuat menerusi akaun bank yang ditetapkan penganjur.
“Hasil semakan mendapati akaun tersebut dibuat atas nama beberapa individu dengan semakan rambang mendapati jumlah kutipan keuntungan dianggarkan kira-kira RM150,000.
“Semua tangkapan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan tahanan reman bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, antara barangan dirampas termasuklah lima set komputer yang mengandungi aplikasi digunakan bagi mengawal perjudian dalam talian serta 21 telefon bimbit pelbagai jenama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – UTUSAN ONLINE











