KUALA LUMPUR 23 Julai – Sebuah jawatan kuasa teknikal diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditubuhkan untuk mengkaji kertas cadangan bagi menggantikan monopoli Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) terhadap bekalan beras.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, hasil akhir daripada jawatankuasa itu akan dikemukakan kepada Kabinet selewat-lewatnya September ini sebelum dibahaskan di Parlimen.
Beliau berkata, dalam mesyuarat pertama dengan lapan kementerian pada Selasa lalu, mereka yakin ada beberapa pindaan undang-undang yang mungkin perlu dirombak.
“Kita tidak mungkin akan berkompromi dalam isu keselamatan makanan yang dimonopolikan oleh sebuah syarikat sahaja.
“Biarlah ‘kek ekonomi’ dikongsi bersama, janganlah satu orang sahaja nak makan kek itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat kira-kira tiga jam di Ibu Pejabat FAMA di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Sim Tze Tzin dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak. – UTUSAN ONLINE











