Notis kekosongan kerusi Balakong diserah Khamis atau Jumaat - Utusan Malaysia

Notis kekosongan kerusi Balakong diserah Khamis atau Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee dalam kemalangan awal pagi Jumaat, dijangka diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis atau Jumaat ini.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata notis kekosongan itu dijangka diserahkan selepas selesai upacara pengebumian mendiang Tien Chee.

“Jangkaan (serah notis kepada SPR) pada minggu ini selepas selesai upacara pengebumian mendiang YB Balakong. Mungkin Khamis atau Jumaat,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira 12.40 pagi itu, Tien Chee, 40, yang memandu kenderaan jenis Nissan XTrail dari arah Kuala Lumpur ke Kajang, maut selepas terlanggar belakang sebuah lori di KM11.7 Lebuh Raya Grand Saga.

ADUN dari DAP itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Mendiang meninggalkan seorang isteri Loh Hwa Hong, 39, serta tiga anak Ng Chin Wee, 17; Ng Chin Shian, 15; dan Ng Chin Khai, 13.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 35,538 undi. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini