KUALA LUMPUR 23 Julai – Jenama hoco. yang diusahakan oleh Hong Kong Haoco (hoco.) Technology Co. Ltd sejak tahun 2009 kini berkembang menembusi pasaran antarabangsa mencakupi Asia Tenggara, Taiwan, China, Amerika Utara, Timur Tengah dan Eropah.
Mengeluarkan pelbagai aksesori yang direka mengikut peredaran masa, aksesori hoco. yang cantik dan canggih boleh dibeli di kedai Hoco O2O (Online to Offline) Cosmos yang terletak di Plaza Low Yat, di sini.
Pengarah Urusan Haoco (hoco.) Technology Co. Ltd., Gavin Ou berkata, dalam menghasilkan pelbagai aksesori untuk pengguna dalam golongan pertengahan ke atas, hoco. mementingkan dua perkara iaitu ujian dan keselamatan.
“Semua produk yang dihasilkan di bawah jenama hoco. perlu melalui ujian keselamatan pengguna dan pihak kami sendiri meletakan tanda aras yang perlu dilepasi atau lulus produk.
“Selain itu, aksesori atau produk hoco. juga akan melalui undang-undang produk yang dikuatkuasakan oleh setiap negara yang kita tembusi kerana kita sedar, apabila aksesori yang dikeluarkan oleh hoco. ia adalah untuk jenama-jenama besar seperti Apple, Samsung, HTC, MEIZU dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui usai majlis pelancaran dan pengenalan kedai Hoco O2O Cosmos di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Cosmos Sdn. Bhd., Choong Sang Joo, Pengurus Promosi dan Pemasaran Plaza Low Yat, Raymond Foo dan wakil Persatuan Komunikasi Mobile Malaysia (PPTM).
Gavin yang berasal dari Shenzhen, China berkata, beliau yakin dengan pemilihan Cosmos Online Sdn. Bhd. untuk menjadi pengedar tunggal di Malaysia bagi semua aksesori jenama hoco. kerana reputasi hoco. sebagai peneraju utama dalam pasaran terbuka bagi industri aksesori digital global akan terus didukung oleh Cosmos.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Cosmos Online Sdn. Bhd., Choong Sang Joo berkata, menyedari rakyat Malaysia menyumbang sebanyak RM6.8 bilion dalam pembelian telefon pintar pada tahun lepas berbanding dengan RM5.4 bilion yang dibelanjakan pada tahun 2015, beliau yakin aksesori yang ditawarkan oleh hoco. mampu memikat hati pengguna.
“Bukan sahaja di kedai Hoco O2O yang terletak di Plaza Low Yat ini menjadi pusat sehenti (one stop centre) kepada pelanggan yang ingin mencari aksesori untuk telefon pintar mereka, di sini juga segala jenis produk yang dihasilkan di bawah jenama hoco. ada disediakan untuk pengguna.
“Mereka hanya perlu datang ke kedai kami dan buat pilihan kerana rekaan dan warna aksesori yang hoco. tampilkan amat sofistikated dan sesuai untuk semua peringkat, tidak kira tua atau muda,” katanya. – UTUSAN ONLINE











