Segera ambil tindakan terhadap Ramasamy - Utusan Malaysia

Segera ambil tindakan terhadap Ramasamy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 23 Julai – Pihak keselamatan perlu segera mengambil tindakan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

FATHUL BARI MAT JAHYA
FATHUL BARI MAT JAHYA

Yang Dipertua Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu), Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sesiapa sahaja yang terlibat atau dikaitkan dengan aktiviti keganasan tidak boleh dibiarkan terlepas.

Katanya, sebelum ini, mereka yang disyaki mempunyai pemikiran, tulisan, atau apa-apa berkaitan dengan kumpulan pengganas seperti Daesh, pihak berkuasa khususnya daripada Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman terus mengambil tindakan.

“Itu baru daripada segi tulisan atau mempunyai sesuatu bahan bacaan (Daesh). Dalam hal ini, dia (Ramasamy) ada kaitan langsung dan dikaitkan sebagai orang penting di dalam LTTE, mengapa tidak ada lagi tindakan.

“Tanpa ada sebarang prejudis, saya harap pihak keselamatan segera mengambil tindakan. Apa jua aktiviti atau perkara berkaitan aktiviti pengganas ini perlu dicegah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kontroversi melibatkan Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP tercetus apabila sekeping gambar memaparkan beliau mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE tular dalam media sosial.

Bagaimanapun, Ramasamy menafikan mempunyai kaitan dengan LTTE apabila mengatakan beliau hanya dijemput untuk menjadi perunding damai antara kerajaan Sri Lanka dengan pertubuhan berkenaan semasa menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Khamis lalu, pihak polis mengesahkan telah menerima sebanyak 53 laporan polis berhubung dakwaan mengaitkan Ramasamy dengan LTTE.

Sementara itu, Fathul Bari turut mempersoal sikap DAP yang terus membisu dalam soal tersebut.

“Ramasamy orang besar di dalam DAP, bagaimana orang besar di dalam DAP boleh terlibat dalam gerakan pengganas antarabangsa.

“Sebahagian daripada pemimpin DAP sibuk memperjuang hak asasi manusia diperingkat antarabangsa, kenapa dalam isu ini (LTTE) mereka diam,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×