IPOH – Sepasang warga emas yang merupakan pelajar di Pengajian Pondok, Pusat Pendidikan Al Barakah, Manjoi dekat sini hari ini meluahkan rasa syukur tidak terhingga apabila mereka disatukan dalam satu majlis di pusat berkenaan.
Hussain Abdul Rahman, 84, dan pasangannya, Kamsiah Adam, 66, mengambil keputusan untuk hidup bersama sebagai sepasang suami isteri selepas mengenali hati budi sejak tiga bulan lalu dalam kelas pengajian pondok dewasa yang sama di pusat pendidikan tersebut.
Menurut Kamsiah yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur, dia bersetuju untuk menjadi isteri Hussain selepas terpikat dengan kesolehannya selain mahu menjaga bekas Imam Masjid Universiti Islam Antarabangsa selama 12 tahun itu yang mengalami sakit lutut.
“Saya sebelum ini tidak pernah bekerja namun dengan Sijil Fisiologi yang saya perolehi ketika belajar di Australia, saya rasa boleh menjaganya.
“Kami merancang untuk terus tinggal di pusat pendidikan ini mendalami ilmu agama dan menjalankan ibadah bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pasangan tersebut dinikahkan adik Kamsiah iaitu Hamzah Adam dengan disaksikan Timbalan Pendaftar Ipoh, Mohd. Azarudin Mohamad Saarani.
Sementara itu, Hussain turut meluahkan perasaan syukurnya selepas diijabkabul buat kali ketiga selepas menerima cadangan daripada Pengasas dan
Pengetua pusat pendidikan itu, Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias.
Hussain yang merupakan bekas Penyelia Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor itu berkata, Ustaz Kazim yang mencadangkan supaya saya mencari seorang pasangan agar dapat menjalani ibadah di pusat pendidikan itu dengan lebih tenang.
“Saya bersetuju dengan cadangan tersebut sebelum mengambil keputusan untuk mencari jodoh dalam kalangan pelajar Pengajian Pondok pusat pendidikan ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ustaz Kazim memberitahu, mereka merupakan pasangan pelajar keenam Pengajian Pondok berkenaan yang bertemu jodoh di pusat pendidikan tersebut. – K! ONLINE











