Apakah hukum suami yang selalu menjatuhkan maruah isteri sama ada secara perbuatan atau perkataan sehingga isteri berasa fobia bila bersama suami. Memilih berdiam diri, tetapi hati makin sengsara dan kalau melawan takut berdosa.
Kak Piah, Perak.
UKE: Suami isteri adalah saling lengkap-melengkapi dan hendaklah saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh menjatuhkan maruah antara satu sama lain. Kedua- dua belah pihak mempunyai aib masing-masing maka hendaklah ditutup aib tersebut.
Tindakan suami yang suka menjatuhkan maruah isteri di hadapan orang lain adalah satu perbuatan yang sungguh kurang sopan. Rasulullah SAW sendiri memuliakan isteri-isteri baginda dengan panggilan dan layanan yang baik.
Rasulullah SAW bersabda “Yang terbaik dalam kalangan kamu adalah yang terbaik kepada isteri mereka”. Anda berhak untuk menyatakan ketidakpuasan hati anda kepada suami. Tidak berdosa jika menegur seorang suami dan jika tidak mampu, mintalah orang lain supaya memberi nasihat kepada suami.
Anda boleh mengadu ke pejabat agama untuk sesi kaunseling. Jika masih berlarutan, terpulanglah kepada anda. Berkahwin adalah untuk bahagia, bukan untuk sengsara. Saya harap anda faham maksud saya.










